JDEA 3311

TAJUK TUGASAN:

Kesopanan dalam pertuturan sangat dipentingkan dalam masyarakat Melayu. Jelaskan dengan mengemukakan contoh yang sesuai.

 

Asmah Hj. Omar, 1996. “Kesopanan dalam Perbincangan dan Perbahasan: Satu Analisis Kelakuan Bahasa dalam Keadaan Perbezaan Taraf dan Peranan”, dibentangkan dalam Seminar Memperingati 100 Tahun Za’ba. Kuala Lumpur: Universiti Malaya. Hlm. 121-149.

1.0       PENGENALAN

            Tugasan ini akan membincangkan mengenai kesopanan dalam pertuturan masyarakat Melayu.  Huraian awal tugasan ini akan menerangkan secara am mengenai Prinsip Kesopanan berdasarkan kepada tokoh bahasa tertentu.  Antara tokoh bahasa tersebut adalah Grice, Lakoff, Leech, Brown dan Levinson, dan Asmah Hj. Omar.

            Pada bahagian yang seterusnya, maksim-maksim kesopanan dalam Prinsip Kesopanan Leech akan diterangkan dengan mengaitkannya dalam masyarakat Melayu sendiri.

 

2.0       KONSEP BERKAITAN

 

            Bahagian ini akan menghuraikan mengenai konsep kesopanan berbahasa berdasarkan kepada pandangan tokoh-tokoh bahasa.  Selain itu, bahagian ini akan menerangkan secara awal mengenai  lima Model-model Kesantunan oleh enam tokoh bahasa termasuk Leech.  Teori Kesopanan Leech.

 

2.1       KONSEP KESOPANAN BERBAHASA

 

            Dari segi bahasa, perkataan sopan dapat diistilahkan sebagai adab, adat, berdisiplin, santun  dan lemah lembut. Kesopanan menurut Asmah Hj. Omar boleh dilihat dari segi tingkah laku bukan bahasa dan juga dari segi bahasa (1995:121).  Tambah beliau lagi:

“Kesopanan yang betul-betul memberi perhatian kepada peranan sosial pemeran latar, judul percakapan, dan menyesuaikan peraturan pertuturan dengan keadaan sebenar.(1995:125)

 

            Menurut Kamus Besar Bahasa Melayu, “bahasa” adalah bermaksud “bicara”, ujaran”, “tatatertib”, “sopan-santun”, “tingkah laku” dan “percakapan yang baik”.  Kesopanan berbahasa memberi pengertian yang luas yang merangkumi makna komunikasi yang sempurna dan beradab dengan perlakuan yang baik.  Kamus Dewan pula mendefinisikan kesopanan sebagai perihal sopan yang ditonjolkan melalui tingkah laku, tutur kata dan sebagainya.

 

            “Kesopanan bahasa” oleh Teo Kok Seong mentakrifkan kesopanan sebagai bentuk bahasa atau penggunaan bahasa yang bermaksud untuk berlaku sopan kepada orang yang diajak bercakap bagi tujuan menghormatinya, di samping memperlihatkan kehemahan pada orang yang bercakap itu agar dia dianggap sebagai berbudi bahasa.

 

            Awang Sariyan (2007:1) kesopanan berbahasa merujuk kepada penggunaan bahasa yang baik, sopan, beradab, memancarkan peribadi mulia dan menunjukkan penghormatan kepada pihak ayng menjadi teman bicara.  Thomas(1995:158) kesopanan berbahasa dapat didefinisikan sebagai strategi yang digunakan oleh penutur terhadap pendengar dalam usaha mencapai pelbagai matlamat, seperti memelihara perhubunganyang harmonis.

 

2.2       MODEL-MODEL KESOPANAN

 

            Topik ini akan membncangkan mengenai Model Prinsip Kerjasama Grice, Model Kesantunan Lakoff, Model Kesantunan Brown dan Levinson, Model Kesopanan Asmah Haji Omar, dan Prinsip Kesopanan Leech.

 

2.2.1   MODEL PRINSIP KERJASAMA (PK) GRICE (1975)

 

            Pada 1967, Grice mencetuskan PK berasaskan  penggunaan implikatur perbualan dalam meneroka sesuatu ujaran Tokoh ini menghuraikan prinsip kesopanan mengikut pandangnnya dengan menjadikan sumbangan seseorang sebagaimana yang dikehendaki sahaja, di tahap apabila perbualan itu mengambil tempat, dan tepat pula dengan arah tujuan perbualan yang sedang berlangsung.  Beliau telah mengemukakan 4 maksim iaitu maksim kuantiti, maksim kualiti, maksim pertalian, dan maksim cara.

            Maksim kualiti adalah maksim yang sempurna untuk memberi maklumat yang cukup informative dan memastikan maklumat yang cukup melebihi daripada apa yang sepatutnya.  Maksim kualiti adalah maksim yang mementingkan perkara yang betul sahaja dan tidak menyebut sesuatu yang tidak betul dan juga tidak akan meyebut sesuatu yang tidak cukup dalil atau bukti.  Maksim pertalian merupakan kesinambungan dan relevan maklumatnya.  Maksim cara adalah maksim yang mementing pernyataan yang sejelas mungkin dan mengelakkan kesamaran, ketaksaan, ringkas dan teratur.  Prinsip ini mengekalkan kesinambungan sosial dan pertalian mesra  dan membolehkan kita mengandaikan bahawa yang kita ajak berbual itu memang rela bekerjasama dengan kita.

 

2.2.2   MODEL KESANTUNAN  LAKOFF (1978)

 

            Lakoff menyarankan tiga peraturan sekiranya sesuatu perualan mengekalkan keharmonian iaitu:

a)     Jangan memaksa

b)     Berikan pilihan

c)      Jadikan pendengar selesa

            Jangan memaksa adalah peraturan untuk mengekalkan kesantunan formal untuk mengekalkan jarak pendengar dengan penutur.  Peraturan berikan pilihan pula adalah peraturan dalam situasi tidak formal.  Memberi peluang pendengar membuat pilihan menerima atau menolak sesuatu permintaan, berfikir, membina ujaran dengan ayat tanya.  Peraturan ketiga iaitu jadikan pendengar selesa bertujuan merapatkan hubungan baik antara penutur dengan pendengar.  Peraturan ini menonjolkan sifat positif penutur-pendengar dan digunakan dalam kalangan yang menjalin hubungan rapat.

            Walau bagaimanapun, model ini tertumpu pada kepentingan pendengar dan bersifat egosentrik. Penutur lakukan apa sahaja demi kepuasan pendengar. Model ini mengutamakan kepentingan pendengar , tidak dapat dipertahankan dalam semua peristiwa bahasa yang mempunyai matlamat yang berbeza.

 

2.2.3   MODEL KESANTUNAN BROWN DAN LEVINSON (1978 &  1987)

 

            Model Brown dan Levinson (B&L) ini berasaskan “konsep menyelamatkan air muka yang dicetuskan daripada konsep air muka Goffman pada 1967.  Konsep ini menafsirkan tingkah laku yang santun sebagai asas dalam mengekalkan kehendak air muka.  “air muka” dikaitkan dengan perasaan nilai diri atau imej diri, perlu dicari, dan boleh hilang, boleh dikekalkan, dimusnahkan atau ditingkatkan apabila berinteraksi dengan orang lain.  “air muka” positif merupakan keinginan individu untuk disukai, dihargai, dipersutujui, dihormati, orang lain.  Air muka negatif merupakan keinginan untuk mempertahankan hak dan dan kebebasan melakukan sesuatu tidak dihalang.  B&L telah mengemukakan beberapa strategi untuk mengurangkan ancaman air muka iaitu Lakuan Mengancam Air Muka dan tidak melakukan Lakuan Mengancam Air Muka.  Namun begitu, Teori B&L ada kelemahannya.  Model ini menurut Matsumoto dan Mao adalah beracuankan Barat dan tidak sesuai dengan tradisi Timor yang mengutamakan nilai sosial dan budaya yang meletakkan diri sendiri dalam perkara kedua.

 

2.2.4   MODEL KESOPANAN ASMAH HAJI OMAR

            Asmah Haji Omar pula menyatakan kesopanan berbahasa dapat didefinisikan sebagai  “penggunaan bahasa sehari-hari yang tidak menimbulkan kemarahan dan kegusaran atau rasa kecil hati daripada pihak yang lain”.  Menurut Asmah Haji Omar, beliau telah mengatakan bahawa terdapat dua jenis kesopanan iaitu kesopanan asas dan kesopanan terkendala.

           

            Kesopanan asas ialah kesopanan yang sedia ada dalam masyarakat dan menjadi penghubung antara satu sama lain dengan cara menunjukkan sikap berbaik-baik antara satu sama lain. Kesopanan berkendala pula menggambarkan usaha yang dilakukan oleh ahli masyarakat dalam berhubungan antara satu sama lain dengan memberi perhatian kepada kendala tertentu. Kendala-kendala tersebut adalah seperti berikut:

a)     Taraf dan peranan orang yang bercakap dengan kita.

b)     Di mana atau dalam keadaan yang bagimana percakapan itu berlaku.

c)      Apa yang dipercakapkan.

d)     Mengapa percakapan itu berlaku.

e)     Cara percakapan itu disampaikan sama ada secara bersemuka, dalam perbualan telefon ataupun sidang video.

           

            Perkara yang penting dalam pertuturan ialah cara penutur mengungkapkan tutur kata dan pertuturan itu mempunyai mesej atau tujuan tertentu. Proses pertuturan ini melibatkan:

  1. Pemilihan kata dan ungkapan yang sesuai dan membawa suasana sopan.
  2. Pemilihan ayat yang sesuai, bukan sahaja dari segi nahunya , tetapi dari segi makna pragmatik yang didukungnya.
  3. Penggunaan intonasi yang sesuai.
  4. Penggunaan kata panggilan yang betul iaitu nama sapaan atau nama gelaran.

 

2.2.5   PRINSIP KESANTUNAN LEECH

 

            Geoffrey Leech dalam bukunya yang bertajuk “Prinsip Pragmatik” (1993) telah mendefinisikan kesopanan sebagai strategi komunikasi semata-mata.   Beliau berpendapat  bahawa sesuatu keadaan pertuturan biasanya bergantung kepada beberapa faktor relatif kekal seperti umur, jantina, status, darjah keintiman dan peranan.  Leech menyatakan maksim kesopanan ini dapat menjelaskan perkaitan sopan dengan tingkah laku manusia. Hal ini kerana maksim kesopanan ini akan kurangkan ungkapan pendapat yang tidak beradab dan hanya versi positif sahaja dengan ungkapan pendapat yang beradab sahaja digunakan.  Leech telah mengemukakan maksim-maksim kesopanan atau maksim kesantunannya yang dapat menjelaskan perkaitan antara “kesopanan” dengan tingkah laku manusia.  Kesopanan terdiri daripada dua iaitu kesopanan mutlak dan kesopanan relatif.

 

            Maksim kesopanan Leech melihat kaitan kesopanan sebagai aspek penting dengan ketidakterusan berbahasa, pengecualian pematuhan prinsip kerjasama  Grice dan lakuan bahasa.  Pendekatan prinsip kesopanan dapat dilihat melalui maksim yang berpasangan iaitu meminimumkan iaitu pernyataan kepercayaan yang tidak sopan  dan memaksimumkan kepercayaan yang sopan serta berpusat kepada diri sendiri, penutur, pendengar atau individu lain.

 

            Dengan itu, Leech mengutarakan enam maksim.  Maksim tersebut ialah maksim santun, maksim kerendahan hati, maksim persetujuan, maksim simpati, maksim kedermawaan dan maksim sokongan.  Setiap maksim akan diterangkan dalam subtopik 3.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

3.0       MAKSIM-MAKSIM DALAM PRINSIP KESOPANAN LEECH

 

            Bahagian ini akan menghuraikan enam maksim yang diutarakan oleh Leech dalam Prinsip Kesopanan Leech. Maksim yang akan diterangkan adalah maksim santun, maksim kerendahan hati, maksim persetujuan, maksim simpati, maksim kedermawaan dan maksim sokongan.  Setiap maksim diberikan contoh yang sesuai dengan perlakuan seharian dalam masyarakat Melayu.

 

3.1       MAKSIM SANTUN

            Maksim santun ialah satu strategi untuk memininumkan manfaat bagi diri sendiri dan cuba untuk memaksimumkan manfaat kepada orang lain.   Melalui maksim santun, penutur akan cuba memininumkan kuasanya kepada orang lain dengan cara memaksimumkan manfaat kepada orang lain. Selain itu, maksim santun ini digunakan sebagai salah satu alat untuk mengungkapkan pujian kepada seseorang.  Contohnya:

Contoh 1:

Pekerja              : Saya rasa, belum masanya lagi untuk saya terima jawatan itu, Datuk.  Encik Salleh lebih layak.

Majikan              : Kenapa awak kata Encik Salleh lebih layak?

Pekerja              : Yela, kan Encik Salleh lebih senior daripada sya.  Lagipun, dia lebih lama bekerja di sini berbanding saya yang baru bekerja dengan Datuk tiga bulan.

 

Contoh 2:

A         : Leman, bila dah habis belajar universiti nanti, jangan jadi macam abang kau tu, belajar tinggi-tinggi tapi tak nak kerja kat bandar, kerja di sawah juga yang dia nak.

B         : Janganlah mak kata begitu, kan abang yang juga  bersusah payah sara keluarga kita selama ni.

 

3.2       MAKSIM KERENDAHAN HATI

            Maksim kerendahan hati adalah maksim yang meminimumkan pujian terhadap diri sendiri dengan cara memaksimumkan cacian terhadap diri sendiri.  Melalui maksim ini, penutur akan merendahkan diri sehingga kadang kala menyebabkan pendengar merasakan penutur mencaci dirinya dan merupakan lakuan larangan sosial iaitu bercakap besar. Maksim ini dapat dilihat melalui tutur kata yang disampaikan iaitu kata yang merendahkan diri.  Hal ini kerana untuk mengingatkan diri bahawa pujian tersebut hanyalah sebagai salah satu penghargaan yang diberi agar seseorang itu lebih berusaha gigih.

            Selain itu, maksim ini juga digunakan dalam situasi tertentu iaitu apabila pujian diterima daripada seseorang yang lain.  Adalah menjadi kebiasaan apabila dipuji seseorang itu akan menggunakan maksim ini untuk mengelakkan dari lupa diri akibat pujian tersebut.  Dalam masyarakat melayu umpamanya, maksim ini digunakan untuk menimbulkan perbualan yang harmonis dengan masing-masing tidak memperlihatkan kelebihan masing-masing dan sebaliknya akan menyatakan kekurangan diri sendiri. Contohya, dari segi pencapaian anak-anak, pembelian sesuatu dan sebagainya.  Keadaan ini berlaku untuk mengelakkan timbulnya tanggapan negatif kepada penutur seperti sombong, berlagak dan megah.  Contohnya: 

  1. “Macam awak bolehlah baca buku Cina sebab tahu bahasanya, tapi macam saya ni baca buku-buku Melayu sajalah.” kata Lina kepada Jenny.
  2. “Tak mengapalah Mak Mah, lagipun Datuk bukannya memilih sangat, yang penting boleh dimakan.  Mak Mah masaklah apa yang patut untuk makan tengah hari ni.” kata Datin Zura kepada pembantu rumahnya.

 

3.3       MAKSIM PERSETUJUAN

            Maksim persetujuan ialah maksim yang memperlihatkan kecenderungan seseorang untuk melebih-lebihkan persetujuan terhadap orang lain.  Maksim ini akan memininumkan kerugian kepada pendengar sebaliknya akan memaksimumkan kerugian kepada diri sendiri.  Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada konflik dan perbalahan di antara satu sama lain.

            Selain itu, maksim ini adalah bertujuan menjaga air muka seseorang.  Berdasarkan konsep menjaga air muka seseorang ini lahirlah persetujuan yang menghormati orang yang dilawan bercakap.  Persetujuan yang dituturkan adalah semata-mata menghormati penutur tersebut sahaja dan bukan isi pertuturan tersebut.  Contohnya:

Contoh 1:

A: Awak fikir Afifah ada kat rumah?

B: Barangkali ada. Kan hari ini cuti.

Contoh 2:

A: Nyanyiannya memang merdu kan?

B: Betul, tapi suara Akma lagi merdu kalau dia yang nyanyi.

 

3.4       MAKSIM SIMPATI

            Maksim simpati ialah maksim yang cuba memaksimumkan simpati kepada orang lain dan memininumkan antipati antara diri sendiri dengan orang lain.  Dengan itu, penutur akan cuba untuk menghilangkan rasa benci atau perasaan negatif yang lain terhadap diri orang tersebut dan sebaliknya akan memberi sifat simpati dan belas kasihan terhadap orang tersebut.   Dalam maksim ini ditunjukkan oleh dua penanda yang besar iaitu takziah dan tahniah.   Ucapan takziah dan tahniah ini adalah lakuan tuturan berabad walaupun ucapan takziah mengungkapkan pendapat negatif kepada pendengar.

            Maksim ini juga digunakan untuk menyatakan kata-kata nasihat yang membantu meringankan beban yang ditanggung oleh pendengar dan menyalurkan maklumay yang berguna untuk pendengar tersebut.  Dalam pernyataan simpati ini, nasihat adalah cara terbaik untuk menggambarkan seseorang itu membantu dengan cara saling mengambil berat dan tidak semestinya dengan kebendaan. 

            Dalam masyarakat Melayu, maksim ini digunakan bukan sahaja terhad kepada ucapan yang menyatakan perasaan sedih sahaja malah turut mengandungi unsur-unsur nasihat, ambil berat, kasih sayang dan nilai-nilai kesopanan yang lain.  Contohnya:

  1. “Kesian budak tu, selepas mak ayah dia meninggal terpaksa tinggal di rumah anak yatim piatu.” luah Pat Itam kepada Mak Leha.  Mak Leha hanya mendiamkan diri kerana terkenangkan perbuatan ibu bapa Leman yang pernah merosakkan rumah tangganya.
  2. “Kalau betul nak kerja, kenapa pula pilih kerja sebagai pelayan. Awak masih muda, kerja itu tak baik untuk awak.” nasihat Mak Mah kepada Rina.

 

3.5       MAKSIM SOKONGAN

            Maksim sokongan ialah maksim yang memininumkan cacian terhadap orang lain dan memaksimumkan pujian terhadap orang lain.  Maksim ini sebenarnya adalah maksim mengampu namun adalah tidak sesuai kerana bunyinya yang tidak sopan dan memberi konotasi yang negatif.   Maksim ini biasanya adalah dengan cara memuji dan mengiyakan perbuatan seseorang agar individu tersebut meningkatkan semangat dan usahanya untuk melakukan sesuatu perkara dengan baiknya. 

            Dalam masyarakat Melayu, sokongan yang diberikan bukan untuk tujuan “mengampu” semata-mata sebaliknya untuk  memberi sokongan yang ikhlas.  Sokongan ini adalah bertujuan memberikan dorongan  dan meningkatkan semangat seseorang untuk berusaha dengan lebih gigih dalam melakukan sesuatu perkara.  Contohnya:

  1. “Kalau dapat pekerjaan yang lebih baik, awak boleh saja berhenti kerja ini.” kata Encik Zali kepada pekerja barunya.
  2. “Jika awak berusaha sudah pasti cita-cita awak tercapai lagipun awak ini budak pintar.” kata Cikgu Murni kepada Rashid.

 

3.6       MAKSIM KEDERMAWAAN

            Maksim kedermawaan ialah maksim yang memininumkan manfaat atau keuntungan bagi diri sendiri dan berusaha memaksimumkan kos bagi diri sendiri.    Melalui maksim ini, pernyataan seseorang itu merupakan suatu tawaran atau ungkapan yang sopan seperti bantuan, pertolongan dan kasih sayang.  Contohnya:

Contoh 1:

A: Duduklah dulu ya. Saya pergi buat air jap.

B: Tak payahlah. Kakak tak lama pun, singgah jap je ni.

Contoh 2:

“Sebelum awak balik, terimalah buah tangan dari kami yang tak seberapa ni.” Ujar Datin Seri Zaleha sambil menghulurkan sekeping sampul surat ke tangan Mak Munah.

 

 

 

 

 

 

 

4.0       KESIMPULAN

 

            Kesimpulannya, kesopanan dalam pertuturan sangat dipentingkan dalam masyarakat Melayu.  Berdasarkan Prinsip Kesopanan Leech yang meminimumkan iaitu pernyataan kepercayaan yang tidak sopan  dan memaksimumkan kepercayaan yang sopan, masyarakat Melayu dilihat ada yang masih mengamalkan prinsip ini dan ada juga yang mengamalkan kesopanan dalam pertuturan berdasarkan model kesopanan lain.

            Masyarakat Melayu dianggap lebih bersikap menjaga air muka orang lain lebih daripada menjaga air muka sendiri.  Secara mudahnya, masyarakat Melayu lebih beranggapan positif dan mengurangkan anggapan negatif terhadap orang lain.  Dalam perkaitan antara Prinsip Kesopanan Leech dengan masyarakat Melayu sekarang, dikesan wujud percanggahan.

            Ada anggota masyarakat yang lebih selesa mengutarakan niatnya dengan bercakap secara terus terang.  Unsur paksaan dalam mendapatkan persetujuan orang yang dikehendaki juga semakin sering digunakan.  Dalam erti kata lain, masyarakat Melayu sekarang semakin selesa untuk menggunakan kata yang menggambarkan niat mereka tanpa menggunakan kata-kata yang mempunyai maksud tersirat.

           

 

 

Darwis Harahap dan Abdullah Hassan, 2004. Mutiara Budi. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Kamus Besar Bahasa Melayu, 1995. Kuala Lumpur: Utusan Pubications.

 

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005. Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur.

 

Kamus Linguistik, 1997. Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur.

 

Leech, Geoffrey, 1993. Principles of Pragmatics, First Edition. Diterjemahkan oleh Azhar M. Simin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

About these ads

~ oleh azccmjt22 di April 7, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: