JDEA 3303

       PENDAHULUAN

Secara umumnya, tugasan ini membincangkan akan ciri-ciri laras yang dipilih dan dianalisis dengan menggunakan Teori Ure dan Ellis.  Menurut Nik Safiah Karim dalam artikelnya yang bertajuk “Beberapa Aspek Bahasa dalam Hikayat Raja Pasai”, menerangkan bahawa laras adalah gaya atau cara pengungkapan sesuatu bahasa atau jenis bahasa.  Ure dan Ellis (2006:268) pula menganggap laras sebagai pola-pola penggunaan bahasa yang lazim digunakan dalam keadaan tertentu.  Halliday (2006:268) pula mengatakan bahawa ukuran dan ciri-ciri utama sesuatu laras ialah tatabahasa dan perbendaharaan kata.  Kamus Dewan Edisi Keempat (2005: 893) pula menggariskan laras sebagai variasi bahasa berdasarkan penggunaannya.  Kamus Linguistik (1997: 145) telah menggariskan laras bahasa sebagai kelainan bahasa yang digunakan untuk tujuan tertentu menurut bidang wacana, bentuk wacana dan cara wacana.

Mohd Taib Osman (1996:2) menganggap pantun sebagai artifak budaya, alat komunikasi dalam kehendak sosial, dan juga sebagai gambaran minda masyarakat Melayu.  Pantun-pantun dipilih secara wewenang dari buku suntingan oleh Wan Abdul Kadir Wan Yusuf bertajuk “Pantun: Manifestasi Minda Masyarakat” ada yang berkisarkan mengenai budi dan juga budaya masyarakat Melayu.  Tugasan ini akan melihat ciri-ciri linguistik dan juga keperihalan dalam pantun yang dipilih.  12 pantun empat kerat dipilih untuk tujuan analisis (rujuk Lampiran).

 

 

1.1       OBJEKTIF KAJIAN

Tugasan ini dibuat adalah untuk:

1.      Memenuhi syarat penilaian berterusan yang membawa markah sebanyak 40% bagi kursus JBEA 2306 (Laras Bahasa Melayu).

2.      Membincangkan dan menganalisis laras yang dipilih iaitu laras pantun berdasarkan Teori Ure dan Ellis.  Teori ini dijadikan panduan menganalisis laras pantun.

1.2       BAHAN KAJIAN

Bahan yang dijadikan sebagai korpus adalah dipilih secara rawak daripada buku hasil selanggara dan suntingan oleh Wan Abdul Kadir Wan Yusoff.  Buku yang bertajuk “Pantun: Manifestasi Minda Masyarakat” ini diterbitkan pada tahun 1996 oleh Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur dan mempunyai 212 halaman. Pantun yang dipilih adalah terdiri daripada 12 rangkap pantun.  12 rangkap pantun ini ada yang terdiri daripada pantun budi, pantun orang berkasih dan juga pantun nasihat.

1.3       METODOLOGI KAJIAN

Terdapat dua jenis kaedah penyelidikan yang biasa digunakan dalam peyelidikan iaitu kaedah kerja lapangan dan keperpustakaan.  Penulis menggunakan kaedah keperpustakaan untuk menyiapkan tugasan ini.

Kaedah keperpustakaan (2003:4) adalah kaedah yang merujuk kepada bahan-bahan bertulis, pita rakaman, video dan seumpamanya yang telah dilakukan oleh orang lain.  Kaedah ini dilakukan di perpustakaan, arkib, muzium dan seumpamanya.

2.0       TEORI KAJIAN (2008:5)

            Teori yang digunakan adalah Teori Ure dan Ellis adalah teori yang melihat kepada kepentingan peristiwa bahasa sebagai fokus utama dalam kajian sesuatu laras itu.  Kedua-dua tokoh ini mengatakan bahawa setiap penggunaan bahasa memerlukan satu situasi sosial ataupun peristiwa bahasa.  Kedua-dua tokoh ini mendasarkan ciri-ciri keperihalan dan ciri-ciri linguistik yang wujud dalam sesuatu penggunaan bahasa itu.

            Ciri-ciri keperihalan ialah ciri-ciri luaran yang terdapat dalam sesuatu peristiwa bahasa dan mereka telah membahagikan ciri keperihalan ini kepada dua bahagian, iaitu situasi luaran dan situasi persekitaran.  Situasi luaran ialah latar belakang sosial dan budaya sesebuah masyarakat bahasa yang merangkumi struktur sosial dan keseluruhan cara hidup masyarakat yangmenentukan pelakuan anggota masyarakat.  Situasi persekitaran pula mencakupi aspek-aspek yang terlibat secara langsung dalam penggunaan bahasa.  Situasi persekitaran mempunyai empat aspek penting iaitu:

i)                    Cara penyampaian

ii)                  Hubungan sosial dan peribadi

iii)                Bahan yang diperkatakan

iv)                Fungsi sosial perlakuan bahasa

            Cara penyampaian merujuk pada jenis-jenis bahasa yang digunakan seperti bentuk lisan, tulisan atau sebagainya, pameranpameran yang terlibat bagi penggunaan bahasa itu.  Bahasa tulisan dapat mewujudkan variasi laras seperti laras laporan, ilmiah, dan sebagainya.

            Perhubungan sosial dan peribadi ialah hubungan yang wujud antara seseorang dengan seseorang dalam sesuatu peritiwa bahasa yang berlangsung.  Dua aspek yang berkaitan, iaitu melibatkan hubungan peribadi dan hubungan tidak rasmi atau rasmi.  Hubungan peribadi akan mewujudkan hubungan mesra antara dua pihak dan peritiwa bahasa yang terlibat biasanya adalah perbualan dua orang sahabat, sepasang kekasih ataupun sesama ahli keluarga.  Hubungan tidak rasmi atau rasmi pula tidak menunjukkan kemesraan kerana wujudnya jurang sosial.  Peristiwa bahasa yang terlibat biasanya adalah hubungan antara penulis akhbar dengan pembaca akhbar, antara majikan dengan pekerja dan penulis blog dengan pembaca blog.

            Bahan yang diperkatakan ialah isi yang diperkatakan sesuatu peristiwa bahasa yang berlangsung.  Bahan yang dijadikan isi dalam peristiwa bahasa juga merupakan bahan sesuatu laras dan bergantung pada perkara yang diperkatakan oleh penutur atau penulis sesuatu laras.

            Fungsi sosial ialah bentuk-bentuk  majlis ataupun upacara yang berupa amalan anggota sesebuah masyarakat dan diiktiraf oleh masyarakat.  Lakuan bahasa adalah kata-kata khusus yang dituturkan dalam sesebuah fungsi sosial.  Sebagai contohnya, lakuan bahasa dalam fungsi sosial majlis pernikahan biasanya adalah kata-kata pengantin lelaki dan tok kadi semasa akad nikah dijalankan.  Lakuan bahasa hanya akan wujud apabila adanya peristiwa bahasa yang berlangsung.  Setiap lakuan bahasa yang lahir daripada peristiwa bahasa tidak sama dan bergantung pada jenis peristiwa bahasa yang berlaku.

            Ciri-ciri linguistik akan membincangkan empat aspek penting iaitu:

i)        Aspek kosa kata

ii)      Aspek ayat

iii)    Aspek ketenunan

iv)    Aspek keindahan

            Aspek kosa kata memberi tumpuan kepada penggunaan kata dalam sesuatu laras.  Analisis akan melihat sama ada sesuatu laras itu banyak menggunakan istilah khusus atau istilah umum ataupun tidak ada penggunaan istilah langsung.  Terdapat juga laras yang banyak menggunakan kata pinjaman bahasa asing seperti laras sains.

            Aspek ayat pula menekankan pada jenis ayat da juga binaan ayat yang digunakan dalam sesuatu laras.  Ada laras yang banyak menggunakan ayat majmuk dan kurang menggunakan ayat tunggal.  Ada laras yang mengalami proses pengguguran dan penyongsangan ayat.

            Aspek ketenunan ialah keutuhan sesuatu laras sebagai sebuah teks dan berkaitan dengan unsur-unsur tertentu yang digunakan oleh individu dalam sesuatu laras.  Sesetengah laras mempunyai kesatuan isi yang utuh manakala laras yang lain pula kurang utuh dari segi jalinan idea yang disampaikan.

            Aspek keindahan ialah nilai estetika yang ada pada sesuatu laras.  Nilai keindahan adalah berdasarkan tarikan sesuatu laras kepada masyarakat.  Lazimnya, laras yang berkaitan dengan pemerian atau penceritaan adalah laras yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.  Keindahan laras dilihat kepada cara penghasilannya, dan juga perkaitannya dengan fungsi sosial sesebuah masyarakat.

            Ringkasnya, Teori Ure dan Ellis boleh dilihat berdasarkan kepada rajah di bawah:

TEORI URE DAN ELLIS

1.SITUASI LUARAN

2.SITUASI PERSEKITARAN

·  Cara penyampaian

·  Perhubungan sosial/peribadi

·  Bahan yang diperkatakan

·  Fungsi sosial perlakuan bahasa

1.            KOSA KATA

2.            SINTAKSIS/AYAT

3.            KETENUNAN

4.            KEINDAHAN

CIRI-CIRI KEPERIHALAN

CIRI-CIRI LINGUISTIK

RAJAH 1: RINGKASAN TEORI URE DAN ELLIS

 

 

 

 

 

 

 

 

3.0       ANALISIS DATA KAJIAN

            Analisis akan dilakukan berdasarkan kepada Teori Ure dan Ellis yang melihat sesuatu laras berdasarkan kepada ciri-ciri keperihalannya dan ciri-ciri linguistik.

3.1       CIRI-CIRI KEPERIHALAN

Ciri-ciri keperihalan pantun dilihat berdasarkan kepada situasi luaran dang situasi persekitaran.  Pantun yang dipilih secara rawak ini secara amnya adalah berkisar kepada cerminan budaya masyarakat Melayu yang penuh dengan budaya hidup orang berbudi.

3.1.1   SITUASI LUARAN

Dari segi ciri keperihalannya, pantun dilihat mempunyai situasi luaran yang dihasilkan oleh masyarakat tertutup iaitu masyarakat Melayu pada masa dahulu.  Pantun terhasil tanpa diketahui akan penciptanya dan masa sesuatu pantun dicipta tidak diketahui.

3.1.2   SITUASI PERSEKITARAN

Situasi persekitaran dalam laras pantun pula akan melihat kepada cara penyampaian, perhubungan sosial, bahan yang diperkatakan dan juga fungsi sosial perlakuan bahasa.  Analisis situasi persekitaran akan melihat satu demi satu pantun yang dipilih seperti yang dilampirkan.

3.1.2.1            CARA PENYAMPAIAN

Secara amnya, semua pantun mempunyai cara penyampaian yang sama iaitu bermula dengan penyampaian secara lisan dan diikuti dengan penyampaian secara tulisan.  Pantun yang merupakan tradisi lisan sememangnya disampaikan secara lisan dari satu generasi ke satu generasi.  Bentuk pantun yang amnya ringkas dan padat, mudah diingati dan menjadi warisan yang dihafal terutamanya untuk majlis-majlis tertentu.  Sebagai contoh pantun tersebut yang mudah dingati kerana mempunyai pembayang dan maksud yang mematuhi pola hujung berima a-b-a-b dan pengulangan kata yang berlaku dalam sesuatu pantun.

Rosak pandan kerana padi,

Rosak padi kerana bunganya,

Rosak badan kerana budi,

Rosak budi kerana orangnya.

3.1.2.2            PERHUBUNGAN SOSIAL/PERIBADI

Melihat kepada perhubungan sosial dalam pantun, dapat dilihat akan bentuk hubungan yang jelas iaitu tidak formal.  Hubungan ini boleh dilihat dalam majlis-majlis tertentu seperti majlis perkahwinan, majlis pernikahan, bersunat dan juga semasa perjumpaan keluarga dan kenalan.  Contoh pantun tersebut diungkapkan dalam keadaan dua individu yang bakal berpisah;

Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita bersama mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.

Perhubungan peribadi pula boleh dilihat dalam situasi yang melibatkan pasangan kekasih, pantun yang bermaksud untuk meminta kepastian cinta dan menyatakan rasa kasih yang teramat sangat seperti berikut akan diungkapkan;

(1)       Di antara padi dengan selasih,

Yang mana satu tuan lurutkan?

Di antara budi dengan kasih,

            Yang mana satu tuan turutkan?

(2)       Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih saya lurutkan,

Buang emak buang saudara,

            Sebab kasih saya turutkan.

Pantun berikut pula biasanya diungkapkan oleh dua orang sahabat ataupun sesama ahli keluarga;

(1)       Puas saya bertanam ubi,

Nanas juga dipandang orang,

Puas saya menabur budi,

            Emas juga dipandang orang.

(2)       Tuailah padi diantara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intailah kami antara nampak,

            Esok jangan rindu-rinduan.

3.1.2.3            BAHAN YANG DIPERKATAKAN

            Bahan yang diperkatakan dalam laras pantun adalah hidup berbudi dalam masyarakat Melayu.  Peristiwa bahasa seperti perpisahan antara dua sahabat atau keluarga, perbualan antara pasangan kekasih ataupun gurau-senda sesama kenalan.

3.1.2.4            FUNGSI SOSIAL PERLAKUAN BAHASA

            Laras pantun mempunyai fungsi sosial seperti dalam majlis peminangan dan perbualan antara pasangan kekasih mahupun kenalan.  Seperti dalam pantun dibawah, yang biasanya dituturkan dalam perbualan antara kekasih ataupun sahabat semasa bertemu.

Di antara padi dengan selasih,

Yang mana satu tuan lurutkan?

Di antara budi dengan kasih,

Yang mana satu tuan turutkan?

 

 

 

3.2       CIRI-CIRI LINGUISTIK

Ciri-ciri linguistik akan melihat kepada aspek kosa kata dan sintaksis berdasarkan pantun yang dipilih.

3.2.1   KOSA KATA

Kosa kata dalam pantun adalah padat kerana suku kata dalam pantun dibina dalam keadaan terkawal supaya kata dalam pantun mematuhi pola hujung ayat yang terdiri daripada a-b-a-b ataupun tengah ayat yang mempunyai rima seperti pantun berikut:

Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih saya lurutkan,

Buang emak buang saudara,

Sebab kasih saya turutkan.

Proses pengguguran imbuhan dilihat berlaku dalam pantun yang dipilih.  Proses pengguguran berlaku pada pembayang pantun dan juga maksud pembayang pantun.  Contohnya dalam pantun berikut:

Tuailah padi diantara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

Kata adjektif layu-layuan dalam baris kedua telah mengalami pengguguran imbuhan kata kerja “beR-”.  Sekiranya imbuhan kata kerja “beR-” ditambah, ayat baris kedua akan terhasil seperti berikut: Esok jangan berlayu-layuan.  Ayat ini masih lagi tidak mengikuti susunan ayat biasa kerana subjek ayat telah mengalami perubahan.  Susunan yang sebenar ialah susunan ayat perintah: Esok jangan berlayu-layuan.

Baris keempat juga turut mengalami proses pengguguran imbuhan kata kerja “beR-” pada kata rindu-rinduan dan mengalami perubahan susunan ayat.  Ayat yang akan terhasil adalah seperti berikut: Esok jangan berindu-rinduan.

Selain daripada pengguguran imbuhan kata kerja, pengguguran kata hubung dan subjek ayat turut dikesan dalam pantun yang dipilih.  Sebagai contoh, lihat kepada pantun tersebut:

Bongkar sauh kembangkan layar,

Orang berjudi di dewan sikat,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi hati terikat.

 

            Berdasarkan pantun di atas, pada baris pertama, ayat yang sepatutnya adalah ‘Pelayar membongkar sauh dan mengembangkan layar’.  Ayat ini telah mengalami pengguguran pada subjeknya iaitu pelayar.  Kata hubung dan juga digugurkan dalam ayat ini.  Pengguguran imbuhan kata kerja mem– juga berlaku pada ayat ini.

            Pada baris ketiga pantun ini, subjek ayat ini juga telah digugurkan.  Ayat yang sepatutnya adalah orang boleh membayar hutang emas.  Subjek ayat ini adalah orang dan subjek ini telah dikenal pasti berdasarkan pada ayat di baris kedua.  Subjek ayat kedua dan ketiga adalah sama, tetapi subjek pada ayat ketiga telah digugurkan dalam pertuturan pantun ini.

            Pantun yang dipilih juga menunjukkan penggunaan kata singkatan tak dan mau.

Buat ketupat bertali-tali,

Mana tergantung sudah berisi,

Tak tengok tempat mau berbudi,

Sangkakan untung berjumpa rugi.

            Pada baris ketiga pantun, dapat dilihat penggunaan kata tak sebagai singkatan kepada kata tidak.  Selain itu, penggunaan kata mau pula merupakan singkatan kepada kata mahu.

            Penggunaan kata-kata arkaik juga telah dikenal pasti dalam pantun yang dipilih iaitu kata arkaik[1] dalam golongan kata nama (KN) dan kata kerja (KK):

  1. Bidara (KN)               – sejenis tumbuhan
  2. Selasih (KN)              – sejenis tumbuhan herba untuk rempah dan ubat
  3. Kuntung (KN) – bekas yang beranyam untuk menyimpan sesuatu
  4. Diramu-ramu (KK)    – perbuatan membetulkan sesuatu dengan mencari

 

            Penggunaan kata ganti nama (2002:58) dalam pantun juga menarik.  Kata ganti nama seperti hamba boleh ditemui dalam teks-teks lama.  Antara kata ganti nama yang ditemui adalah seperti dalam pantun berikut:

Tangkal dijemur pukat disirat,

Tali jala diramu-ramu,

Tuan di timur hamba di barat,

Bila gerangan dapat bertemu.

3.2.2   SINTAKSIS

            Analisis pantun berdasarkan aspek sintaksis akan melihat struktur ayat yang ada pada pantun yang dipilih.  Analisis ini akan melihat melihat kepada ayat tanya, ayat tunggal dan ayat tanya dalam laras pantun.

(a)       Ayat tanya

            Di antara padi dengan selasih,

Yang mana satu tuan lurutkan?

Di antara budi dengan kasih,

            Yang mana satu tuan turutkan?

            Berdasarkan pantun yang dipilih, terdapat ayat tanya digunakan dalam pantun. Ayat tanya dalam pantun ini digunakan dengan tujuan untuk mendapatkan kepastian tentang pilihan orang yang ditanya sama ada memilih budi atau kasih.  Ayat tanya dalam pantun ini digunakan dalam pembayang dan maksud pembayang pantun di baris kedua dan ketiga.  Jawapan kepada soalan pada baris kedua dan keemat pantun ini tidak memerlukan jawapan.  Persoalan ditujukan kepada pendengar dan pendengarlah akan memerikan jawapannya. Dalam contoh di atas, penanda kata tanya “mana” pada baris kedua dan keempat pantun serta penanda tanya pada bahagiah akhir ayat berkenaan.

(b)       Ayat tunggal

            Ayat tunggal (1993:553) atau simple sentence adalah ayat yang hanya mempunyai satu klausa bebas sahaja.  Ayat tunggal mempunyai satu subjek dan satu predikat.  Penggunaan ayat tunggal dalam pantun dalah amat jelas.  Walaubagaimanapun berlaku proses penguguran ataupun penyusunan semula ayat.  Tidak semua pantun mempunyai ayat tunggal dalam bahagiannya,  ada yang mempunyai ayat tunggal pada bahagian pembayang, dan ada yang mempunyai ayat tunggal pada bahagian pada pembayang maksud sahaja.  Penggunaan ayat tunggal adalah bergantung kepada penuturnya.  Analisis seterusya adalah berdasarkan kepada lampiran.

Puas saya bertanam ubi,

Nanas juga dipandang orang,

Puas saya menabur budi,

Emas juga dipandang orang.

            Dalam pantun di atas, pantun ini mempunyai satu klausa sahaja.  Binaan ayat pada baris pertama dan ketiga dalam pantun ini terdiri daripada frasa nama sebagai subjek dan frasa kerja sebagai predikat.  Subjek ayat telah disongsangkan dan apabila dibina semula akan menjadi saya puas.

            Baris kedua dan keempat pula adalah ayat pasif.  Subjek kedua-dua ayat ini adalah orang.  Apabila disusun dalam susunan ayat aktif, ayat ini akan menjadi orang memandang nanas juga dan orang memandang emas juga.

Bongkar sauh kembangkan layar,

Orang berjudi di dewan sikat,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi hati terikat.

            Dalam pantun di atas, ayat pada pantun ini juga terdiri daripada ayat tunggal.  Berlaku penguguran subjek pada baris pertama dan kedua pantun ini.  Subjek pada baris pertama adalah pelayar manakala subjek pada baris kedua ialah orang.  Pada asalnya, susunan ayat pada baris pertama adalah ayat majmuk gabungan seperti berikut: pelayar membongkar sauh dan mengembangkan layar.  Ayat tunggal yang membina ayat ini ialah “pelayar membongkar sauh” dan “pelayar mengembangkan layar”.  Subjek pelayar pada ayat tunggal kedua digugurkan. Binaan ayat ini ditunjukkan seperti berikut:

                                                            A

                                               

                                    FN                               FK

 

                              pelayar                             KH

                                                FK                   dan                 FK

                                                                        Ø                                

                        KK                               PENE             KK                               PENE

            membongkarkan                  sauh                mengembangkan     layar

            mem-kan = Ø                                                menge – = Ø

Subjek ayat pada baris kedua pula adalah orang.  Binaan ayatnya adalah seperti berikut:

                                                            A

 

 

                        FN                                           FK

 

                        orang

 

                                KK                 FSN                      FN                                          

 

                            berjudi          KSN                   INT INT        

                                                                       

                                                       di                 dewan          sikat

 

Baris ketiga pantun mempunyai subjek yang sama dengan baris kedua pantun tetapi telah digugurkan.  Apabila disusun semula, ayat pasif ini mempunyai susunan seperti berikut: orang boleh membayar hutang emas.  Konstituen ayat ini adalah seperti berikut:

                                                            A

 

 

                        FN                        KET hal                             FK

 

                        orang                   boleh                KK             FN      

 

 

                                                                                                INT                  INT

                        Ø                                             membayar      hutang emas

 

 

 

 

Baris keempat pantun ini memperlihatkan penguguran subjek dan kata keterangan cara.  Sekiranya tidak digugurkan, ayat tersebut akan mempunyai susunan seperti berikut: orang berhutang budi lalu hatinya terikat.  Konstituen ayatnya adalah seperti berikut:

                                                            A

                                                           

 

                               FN                                                            FK

 

                                                                       

                              orang                    FK              KET cara        FN                                   

                                                KK             PENE       lalu           KN              PENE

                                  Ø    berhutang       budi           Ø        hatinya            terikat


(c)       Ayat seruan

            Ayat seruan (1993:553) atau exclamatory sentence adalah ayat yang diucapkan dengan nada atau intonasi seruan untuk melahirkan suatu keadaan perasaan.  Sebagai contohnya pantun berikut:

Tangkal dijemur pukat disirat,

Tali jala diramu-ramu,

Tuan di timur hamba di barat,

Bila gerangan dapat bertemu.

            Pantun ini mempunyai ayat yang menunjukkan keinginan yang terlalu untuk menemui kenalannya walaupun berada di tempat yang berbeza.  Dalam menuturkan pantun ini, penutur seakan-akan membunyikan tanda seru pada baris ketiga pantun: tuan di timur hamba di barat!.  Baris keempat pantun pula adalah keluhan penutur kepada pendengar.  Ayat pada baris keempat menunjukkan luahan rasa ingin tahu penutur untuk bertemu dengan pendengar.

 

(d)       Ayat perintah

            Ayat perintah (1993:553) atau imperative sentence adalah ayat yang bertujuan untuk menimbulkan sesuatu tindakan.  Perintah ditujukan kepada orang kedua.  Kata yang yang menandai sesuatu ayat adalah ayat perintah adalah seperti jangan, usah, sila, jemput, minta, tolong, dan harap.  Pantun di bawah menggunakan kata perintah jangan pada baris ketiga.  Pantun ini menasihatkan supaya pendengar tidak mengikut sifat ayam yang selepas bertelur suka berkokok tidak menentukan.  Kokokan ayam tersebut seakan-akan menghebahkan kepada yang lain bahawa ayam tersebut telah berjaya mengeluarkan telur.

Air surut memungut bayam,

Sayur diisi di dalam kuntung,

Jangan diikut rasmi ayam,

Bertelur sebiji riuh sekampung.

(e)       Ayat majmuk

            Ayat majmuk (1993:552) atau compound sentence adalah ayat yang terdiri daripada beberapa ayat tunggal.  Turut dikenali sebagai ayat kompleks.  Terdapat tiga jenis ayat majmuk iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan, ayat majmuk campuran.  Ayat majmuk gabungan yang dihubungkan dengan kata hubung seperti dan, atau, tetap, serta, dan sebagainya.  Ayat majmuk pancangan pula menggunakan kata hubung seperti yang (relatif) dan bahawa (komplemen).  Ayat majmuk pancangan keterangan pula bergantung kepada jenis ayat keterangan iaitu musabab, akibat, syarat, waktu, pertentangan, harapan, cara, tujuan, dan perbandingan.  Analisis pantun untuk  melihat ayat majmuk dalam pantun adalah berdasarkan pantun berikut:

Nyiur gading puncak mahligai,

Buat ketupat berisi inti,

Hancur daging tulang berkecai,

Belum dapat belum berhenti.

            Ayat majmuk dalam pantun ini adalah baris kedua, ketiga dan keempat.  Baris pertama pantun sepatutnya mempunyai kata sendi di tetapi digugurkan.

                                                            A

 

 

                                    FN                                                       FSN

 

                        INT                  INT                  KSN                            FN

                        nyiur          gading                    di                   INT                  INT

                                                                          Ø                   puncak            mahligai

Baris kedua pantun adalah ayat majmuk pancangan relatif yang telah digugurkan subjek ayat, kata hubung pancangan relatifnya, imbuhan kata kerja dan imbuhan kata adjektif.  Ayat ini telah mengalami transformasi seperti yang ditunjukkan dalam rajah di bawah:

                                                                        A

 

 

                                    FN                                                       FK      

 

 

                                    orang          KK           OBJ                KH                   FA

 

                                                membuat       ketupat       yang        KA                   PEL

                                               

                                       Ø      mem- = Ø                              Ø     berisi                  inti

 

 

Baris ketiga pantun adalah ayat majmuk gabungan.  Kata hubung lalu  telah digugurkan.  Susunan ayat majmuk yang sepatutnya adalah: dia menghancurkan daging lalu tulang berkecai.  Pengguguran berlaku pada subjek ayat, imbuhan kata kerja dan  kata hubung gabungan lalu. Binaan dalaman ayat adalah seperti berikut:

                                                                        A

 

 

                                    FN                                                                   FK

 

                                 dia                     

                                                            FK                       KH                           FN

                                   Ø

 

                                          KK                OBJ                KN                            PENE

 

 

                                    menghancurkan        daging    lalu     tulang                 berkecai

 

                                            Ø                              Ø

 

Catatan:


A         =          ayat

FN       =          frasa nama

FK       =          frasa kerja

FA       =          frasa adjektif

FSN    =          frasa sendi nama

KK       =          kata kerja

KSN    =          kata sendi nama

PENE =          penerang

INT      =          inti

KET    =          keterangan

Ø         =          penguguran


 

 

 

3.2.3   KETENUNAN

            Analisis pantun dengan melihat kepada ketenunan sesebuah pantun merujuk kepada keutuhan dan jalinan idea laras pantun sebagai sebuah teks.  Unsur-unsur pemerian yang ada dalam laras pantun adalah saling berkait antara satu ayat dengan ayat yang seterusnya.  Jalinan idea antara ayat-ayat dalam sebuah pantun banyak dilkesan dalam penuturannya.

Nyiur gading puncak mahligai,

Buat ketupat berisi inti,

Hancur daging tulang berkecai,

                        Belum dapat belum berhenti.

            Pantun di atas mempunyai ketenunan yang tinggi dan dapat dilihat pada baris keempat pantun.  Baris keempat pantun mempunyai kesinambungan dengan baris ketiga pantun.  Perkaitan dapat dilihat dengan meletakkan perlakuan belum dapat itu sebagai tindakan untuk belum dapat menghancurkan daging dan tidak akan berhenti selagi tidak berjaya menghancurkan daging dan juga membuatkan tulang berkecai.  Apabila disusun semula, ayat yang terhasil adalah: selagi belum dapat menghancurkan daging, selagi itulah belum berhenti  menghancurkan daging.  Penutur pantun ini hanya menuturkan belum dapat, belum berhenti, sebagai menunjukkan usaha si penghancur daging untuk menghancurkan daging dan membuatkan tulang berkecai.  Predikat ayat: menghancurkan daging  digugurkan dalam pantun ini.

Air surut memungut bayam,

Sayur diisi di dalam kuntung,

Jangan diikut rasmi ayam,

Bertelur sebiji riuh sekampung.

            Pantun tersebut menunjukkan unsur ketenunan yang tinggi.  Perkaitan dua baris pembayang pantun adalah bermula dengan kisah apabila air surut, aktiviti memungut sayur bayampun dimulakan.  Pada baris kedua pantun, sayur bayam yang telah dipungut diisi di dalam kuntung.  Kuntung adalah bekas anyaman untuk menyimpan sayur.  Pada pembayang maksud, diceritakan perihal sikap ayam terutamanya ayam betina.  Pendengar dapat mengetahui bahawa ayam yang dimaksudkan dalam baris ketiga pantun adalah ayam betina berdasarkan baris keempat pantun.  Subjek pada ayat baris keempat pantun digugurkan tetapi pendengar dapat mengesan bahawa ayam adalah subjek ayat.  Kata kerja bertelur telah memperlihatkan pertautan antara perlakuan ayam betina yang bertelur dan membuat bunyi kokokan yang bising apabila selesai mengeluarkan telur.  Pantun ini telah mengaitkan perlakuan manusia seperti ayam betina baru bertelur sebiji, riuh sekampung mengetahuinya.

3.2.4   KEINDAHAN

            Analisis pantun dengan melihat kepada keindahan sebuah laras pantun.  Unsur-unsur estetika yang ada dalam laras pantun adalah tinggi dan keindahannya dilihat kepada perkaitan pantun dengan seni dan budaya Melayu.  Sebagai sebuat tradisi lisan yang dipelihara, pantun mempunyai keindahan yang membawa nilai-silai sosial anggota masyarakat.

            Penyampaian pantun (1996:93) yang menyatakan kehalusan dan lemah lembut budi boleh digambarkan dalam pantun berikut:

Rosak pandan kerana padi,

Rosak padi kerana bunganya,

Rosak badan kerana budi,

Rosak budi kerana orangnya.

Tuailah padi diantara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan.

 

            Susunan intonasi dalam penyampaian pantun ini bersesuaian dengan nilai-nilai keindahan dalam budaya Melayu.  Seperti yang kita maklum, orang Melayu selalu menekankan tentang sopan-santun, tatasusila, dan budi bahasa perlakuan, termasuk tutur kata.  Penyusunan struktur pantun yang disampaikan dengan intonasinya menyatakan nilai-nilai sosial itu.

            Daya kreativiti pencipta pantun dalam menghasilkan pantun yang menarik adalah dengan melihat kepada susunan baitnya.  Ada pantun yang mempunyai dua bait, empat bait atau lebih panjang lagi.  Dalam tugasan ini, semua contoh yang diberikan adalah pantun empat bait.

            Unsur-unsur keindahan merupakan suatu gaya yang menarik dan menggambarkan kecekapan anggota masyarakat dalam melahirkan buah fikiran yang padat, bernas, serta logik dalam bentuk ungkapan-ungkapan yang pendek serta padat.

 

 

 

 

 

 

 

 

4.0       RUMUSAN

            Secara keseluruhannya, laras pantun adalah satu tradisi lisan yang mempunyai pelbagai fungsi dan peranan sama ada sebagai hiburan, upacara atau adat, meluahkan perasaan, nasihat ataupun fungsi lain.  Laras pantun biasanya tidak menekankan gaya bahasa yang betul dalam ayatnya.  Amnya berlaku penguguran unsur-unsur tertentu seperti subjek ayat, predikat ayat, kata imbuhan, dan juga penyongsangan susunan ayat.

            Analisis berdasarkan Teori Ure dan Ellis ini telah melihat laras pantun secara mendalam dengan melihat kepada ciri-ciri keperihalan dan ciri-ciri linguistik laras pantun.  Semua aspek yang diperkatakan seperti yang ditunjukkan dalam Rajah 1 dikaitkan dengan pantun yang dipilih seperti yang disenaraikan dalam lampiran.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Ab. Razak Ab. Karim, 2002. Aspek Penggunaan Bahasa Dalam Warkah-warkah Melayu Lama:Satu Kajian. Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.

 

________, 2008. Kepelbagaian Laras Bahasa Melayu.  Kuala Lumpur: Akademi Pengajian Melayu.

 

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2005. Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur.

 

Kamus Linguistik, 1997. Dewan Bahasa dan Pustaka; Kuala Lumpur.

 

Mohd Taib Osman,1996. “Pantun Sebagai Pencerminan Minda Melayu”. Dlm. Pantun: Manifestasi Minda Masyarakat, selanggaraan oleh Wan Abdul Kadir Wan Yusoff. Akademi Pengajian Melayu; Kuala Lumpur. Hlm. 1-14.

 

Nik Safiah Karim, “Beberapa Aspek Bahasa Dalam Hikayat Raja Pasai” dlm. Wacana Budaya. Hashim Awang, Othman Yatim, dan Nor Azita Che Din (ed.). 2006. Akademi Pengajian Melayu; Kuala Lumpur. Hlm. 266-281.

 

Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, 2004.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

 

PANTUN PILIHAN

 

 (1)      Kalau ada sumur di ladang,

Boleh kita bersama mandi,

Kalau ada umur yang panjang,

Boleh kita berjumpa lagi.(hlm.21)

 

(2)       Puas saya bertanam ubi,

Nanas juga dipandang orang,

Puas saya menabur budi,

Emas juga dipandang orang.(hlm.21)

 

(3)       Pisang emas dibawa belayar,

Masak sebiji di atas peti,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi dibawa mati.(hlm.22)

 

(4)       Di antara padi dengan selasih,

Yang mana satu tuan lurutkan?

Di antara budi dengan kasih,

Yang mana satu tuan turutkan?(hlm.23)

 

(5)       Tuailah padi diantara masak,

Esok jangan layu-layuan,

Intailah kami antara nampak,

Esok jangan rindu-rinduan. (hlm.24)

 

(6)       Air surut memungut bayam,

Sayur diisi di dalam kuntung,

Jangan diikut rasmi ayam,

Bertelur sebiji riuh sekampung. (hlm.24)

 

(7)       Bongkar sauh kembangkan layar,

Orang berjudi di dewan sikat,

Hutang emas boleh dibayar,

Hutang budi hati terikat. (hlm.41)

 

(8)       Nyiur gading puncak mahligai,

Buat ketupat berisi inti,

Hancur daging tulang berkecai,

Belum dapat belum berhenti.(hlm.101)

 

(9)       Buat ketupat bertali-tali,

Mana tergantung sudah berisi,

Tak tengok tempat mau berbudi,

Sangkakan untung berjumpa rugi. (hlm.43)

(10)     Tangkal dijemur pukat disirat,

            Tali jala diramu-ramu,

Tuan di timur hamba di barat,

Bila gerangan dapat bertemu. (hlm. 24)

 

(11)     Nasi lemak buah bidara,

Sayang selasih saya lurutkan,

Buang emak buang saudara,

Sebab kasih saya turutkan.(hlm.101)

 

(12)     Rosak pandan kerana padi,

Rosak padi kerana bunganya,

Rosak badan kerana budi,

Rosak budi kerana orangnya.(hlm. 44)

 

 

Dipetik dari buku;

Wan Abdul Kadir Wan Yusof, 1996.  Pantun: Manifestasi Minda Masyarakat. Akademi Pengajian Melayu; Kuala Lumpur.

 


[1] Bermaksud kata yang jarang dipakai, penggunaan yang terbatas kepada satu daerah atau lingkungan sahaja dan kata yang telah kuno atau mati (2005:l).

~ oleh azccmjt22 di April 3, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: