jdea3308

1.0       PENGENALAN

            Tugasan ini adalah tugasan yang membawa markah 40% daripada markah keseluruhan untuk subjek JDEA 3308, Falsafah Bahasa Melayu.  Tugasan ini akan menerangkan konsep falsah itu sendiri dan melihat kepada perkaitannya dengan pengalaman sebenar penulis seharian.

            Tugasan ini adalah berkaitan dengan pengalaman penulis dalam mengikuti aktiviti dalam Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES).  Sebagai penulis yang mengikuti aktiviti PALAPES selama tiga tahun di Universiti Malaya, pelbagai pengalaman menarik yang ditempuhi kerana pada masa yang sama juga, penulis tersebut juga seorang penulis yang belajar di Universiti Malaya.  Jawatan penting sebagai Bendahari dalam pasukannya, mengajar penulis tersebut untuk membahagikan masa untuk projek di Akademi Pengajian Melayu, projek di Kolej Kediaman Kelima dan juga projek di PALAPES sendiri.

            Pahit-maung penulis tersebut dalam membahagikan masanya mengajarnya untuk berpegang pada falsafah yang teguh.  Secara keseluruhannya, tugasan ini akan mengaitkan kajian falsafah dengan pengalaman penulis dalam membahagikan masanya antara akademik dan juga ko-kurikulum.

 

 

 

 

 

1.1       OBJEKTIF KAJIAN

            Matlamat tugasan ini dibuat adalah untuk membantu penulis dalam mendapatkan markah daripada kuota yang diberikan iaitu sebanyak 40%.  Penulis juga diberi peluang untuk memahami konsep falsafah itu sendiri yang berkait rapat dengan kehidupan dan akal manusia.  Penulis juga dapat memahami dengan mendalam akan konsep falsafah dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian.

 

2.0       KONSEP BERKAITAN

            Bahagian ini akan menerangkan mengenai ilmu, kajian falsafah, ilmu pengetahuan, saluran ilmu pengetahuan dan juga tahap-tahap dalam ilmu pengetahuan.

2.1       ILMU

            Ilmu menurut Hashim Musa (2006:11) adalah sifat manusia mengetahui,mengenali dan mengerti sesuatu perkara, benda dan kejadian dalam alam semesta dan kewujudan ini sebagai fakta yang diperolehi  melalui akal dan qalbunya.  Pengetahuan adalah hasil daripada pekerjaan ‘menganali, menginsafi, mengerti, dan mengetahui’.  Jenis ilmu ada empat iaitu imbasan, sains, falsafah, dan mistik (Hashim Musa, 2006:6).

2.2       KAJIAN FALSAFAH

            Falsafah menurut B.A.G. Fuller (1955:1) boleh ditakrifkan secara umum sebagai satu penyelidikan atau kegiatan secara renungan dan pentaakulan untuk merumuskan sifat dan kandungan alam semesta dilihat secara keseluruhan sebagai satu kesatuan berdasarkan penelitian dan pengkajian terhadap data yang diambil daripada semua aspeknya.

            Falsafah juga boleh ditakrifkan sebagai penyelidikan terhadap sumber dan sifat pengetahuan manusia.  Falsafah cuba merangkai dan mensintesiskan pelbagai cabang ilmu termasuklah matematik, sains tabii, sains sosial, sastera, seni dan sabagainya.

            Oleh itu, ilmu falsafah adalah suatu bidang penyelidikan dan kajian yang mempunyai kaedah, matlamat, asas dan bahan kajian yang tersendiri.  Ilmu falsafah mengambil data dan bahan kajian daripada semua aspek alam semesta hasil daripada kajian tentang pelbagai bidang ilmu sains.

2.3       ILMU PENGETAHUAN DAN SALURAN PEMEROLEHAN ILMU

            Terdapat empat ilmu pengetahuan iaitu pengetahuan imbasan, ilmu sains, ilmu falsafah dan ilmu mistik.

            Ilmu imbasan ialah pengetahuan yang diperolehi manusia melalui cerapan pancainderanya secara sepintas lalu atau sekali imbas yang merupakan satu imbasan.  Imbasan yang terbentuk di dalam fikirannya secara sepintas lalu.  Ilmu imbasan adalah bersifat sementara dengan pengukuran kebenarannya berasaskan deria atau pencaindera semata-mata.

            Ilmu sains ialah pengajian tentang objek yang empirikal atau zahiriah.  Ilmu ini berasaskan penelitian dan eksperimen yang logikal dan empirikal dengan nilai kebenarannya.  Nilai kebenarannya diukur berasaskan akal dengan bukti yang empirikal dan logikal.

            Ilmu falsafah adalah ilmu yang mengkaji dan meneliti objek yang abstrak dan logikal yang merupakan hakikat benda-benda dan kejadian di dalam alam semesta ini yang dilihat dan dihuraikan secara holistik atau menyeluruh berdasarkan paradigma berfikir secara logik melalui kaedah renungan, pentaakulan dan hujahan yang logikal dan rasional dengan nilai kebenarannya diukur berasaskan akal dan rasional.

            Ilmu mistik ialah ilmu tentang objek yang abstrak dan transendental yang yang berdasarkan paradigma pemikiran yang mistikal dan supralogikal, melalui kaedah latihan yang bersifat jasmani dan rohani dan juga melalui ilham, kasyaf dan wahyu, dengan nilai kebenarannya berasaskan pengukuran rasa qalbu atau hati.

            Saluran ilmu pengetahuan ada empat yang utama iaitu pancaindera, hujahan, intuisi, dan laporan.  Saluran adalah jalan untuk untuk melakukan sesuatu (Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2005:1375).  Saluran juga adalah jalan atau laluan yang menjadi pengalir atau pembawa sesuatu perkara daripada sumbernya kepada penerimanya.

            Pancaindera adalah meliputi deria penglihatan, pembauan, pengecapan dan penyentuhan, makan sesuatu perkara dalam alam zahiriah ini dapat dirasai dan dikesani, namun yang mentafsir dan memahaminya ialah fakulti-fakulti akal dalaman iaitu daya perlambangan (dalam bentuk imejan akal) tentang objek luaran itu, daya pengukuran, daya ingatannya, dan daya imaginasinya yang dengan itu membawa kepada pengertianterhadapnya, iaitu kita mengerti tentang perkara itu, ilu diperolehi demikian dinamakan ilmu deria.

            Hujahan yang waras atau logikal iaitu pendalilan yang teratur dan bersistem berdasarkan dua organ minda manusia iaitu fikiran atau rasio dan akal atau intelek.  Fikiran atau rasio yang mentafsir dan mensistemkan kejadian dalam alam semesta ini ke dalam satu susunan huraian yang dapat difahami dan diterima umum sebagai berselaras dengan hukum alam yang benar-benar berlaku secara nyata atau yang mungkin berlaku secara nyata atau yang berlaku secara potensi.  Akal atau intelek ialah unsur rohaniah yang bertempat dalam organ rohaniah yang dinamakan sebagai hati atau kalbu yang boleh menanggapi, memahami dan mengkonsepsi kejadian dan kewujudan yang bersifat transdental iaitu merentasi alam nyata atau alam deria yang tidak tercakup oleh hukum alam tabii.

            Intuisi atau ilham ialah unsur rohaniah yang bertempat di hati yang dapat menanggapi dan mengerti secara terus dan spontan makna sesuatu perkara melalui pemeresapan ke dalam hati yang tidak boleh diperolehi melalui fikiran dan akalnya.  Intuisi terbahagi kepada dua iaitu intuisi pada tahap kesedaran manusia biasa yang berkaitan dengan pengertian tentang kejadian alam tabii ini.  Intuisi tahap manusia istimewa iaitu merupakan kesedaran dan pemahaman tentang alam dan kewujudan yang tinggi yang merentasi alam zahiriah ini yang membawa kepada pemahaman tentang keseluruhan realiti atau alam kewujudan, yang khusus untuk menusia yang menjalani kehidupannya alam agama.

            Laporan yang benar berdasarkan autoriti yang sah dan absah mempunyai dua jenis iaitu laporan melalui perkabaran daripada autoriti yang sah dan laporan yang benar daripada autoriti yang absah.  Laporan melalui perkabaran yang sah iaitu dibenar dan disahkan oleh majoriti manusia melalui tahap-tahap yang berurutan dan bersambungan yang akal tidak dapat menerima bahawa kesemua manusia itu telah bersetuju untuk mengemukakan sesuatu yang tidak benar beramai-ramai.  Laporan yang benar daripada autoriti yang absah dari segi agama iaitu Pesuruh-Pesuruh Tuhan (Rasul) yang mencetuskan laporan itu.  Laporan oleh Pesuruh-Pesuruh Tuhan diterima secara persetujuan umum oleh manusia yang kebenarannya adalah secara semestinya dan utlak kerana mengikut Islam ia berpunca daripada autoriti yang tertinggi iaitu perkataan Allah (Qur’an) yang kebenarannya juga boleh dibuktikan melalui penghujahan.

2.4       TAHAP-TAHAP PENGILMUAN

            Ilmu masuk ke dalam hati budi kita melalui beberapa tahap atau proses yang dinamakan tahap pengilmuan.  Tahap-tahap pengilmuan atau proses pemerasapan ilmu ke dalam akal ialah pengertian imbasan, satu pengkonsepsian, satu penegasan, satu hukum alam.

            Pengertian imbasan iaitu ilmu yang paling asas atau awal yang dicetuskan oleh tanggapan pancaindera secara sepintas lalu yang membentuk satu tanggapan dan pengertian yang sekali imbas dan sepintas lalu.  Tahap ini belum stabil dan mantap.

            Tahap kedua ialah satu pengkonsepsian apabila ilmu, iaitu tanggapan dan pengertian tentang sesuatu perkara itu menjadi lebih tekal dab stabil.  Ini adalah kerana tahap ilmu ini diperkukuhkan oleh pengalaman yang berulang kali yang selalunya didukung oleh satu istilah/perkataan atau ungkapan tertentu.

            Tahap pengilmuan yang ketiga pula adalah satu penegasan, atau proposisi iaitu apabila konsep-konsep itu disusun dalam satu pernyataan atau penegasan yang selalunya didukung oleh satu ayat atau beberapa ayat.  Penegasan atau proposisi boleh itu boleh berbentuk satu pendapat, pemutusan atau satu hipotesis atau teori apabila ia merujuk kepada satu andaian tentang dasar perjalanan, keadaan sifat, dan kedudukan sesuatu perkara, benda, pelakuan dan kejadian dalam alam ini.

            Tahap pengilmuan yang keempat iaitu satu hukum alam adalah apabila pengertian dan penegasan itu berselaras dengan kajadian dalam alam ini secara berterusan dan berkekalan selagi alam ini wujud dalam keadaan yang ada sekarang.

2.5       PROSES BERFIKIR

            Terdapat enam jenis proses berfikir iaitu seberfikir secara autistik, mengingat kembali, imaginasi, memberi perhatian, sebagai satu kepercayaan dan secara mendalam.

            Berfikir secara autistik iaitu merupakan fantasi, khayalan dan lintasan akal secara sepintas lalu daripada satu idea kepada idea lain.  Berfikir cara ini biasanya didasari rasa keinginan, kemahuan dan keperluan yang mendadak.  Proses ini hanya melibatkan imejan-imejan akal yang tidak banyak menggunakan bahasa.

            Berfikir secara mengingat kembali tentang sesuatu perkara atau kejadian yang lepas.  Pemikiran ini melibatkan imejan-imejan akal sahaja kalu prosesnya sebantar dan mendadak, tetapi kalau proses pengingatannya lama, juga akan melibatkan bahasa dari segi penamaan benda, perkara, pergerakan dan sebagainya.

            Berfikir secara imaginasi, iaitu letaknya antara berfikir secara autistik dengan berfikir secara mengingat kembali.  Perbezaan ini proses ini dengan berfikir secara autistik dicetus oleh rangsangan dari luar.  Melalui imaginasi, sesuatu perkara itu boleh berlaku atau boleh dilakukan dan diselesaikan.  Proses ini merupakan proses yang penting dalah usaha manusia menyelesaikan masalahnya. Oleh yang demikian, imaginasi berkait rapat dengan berhujah secara berdalil dan melibatkan penggunaan bahasa yang rumit dan kompleks.

            Berfikir secara memberikan perhatian , berjaga-jaga, awas dan memberi tumpuan, iaitu memberi tumpuan, iaitu merupakan satu akal, iaitu satu sikap akal, iaitu sedar akan keadaan sekelliling.  Proses ini tidak melibatkan bahasa tetapi merupakan sikap akal.

            Proses berfikir sebagai satu kepercayaan, pegangan, pendirian dan pandangan.  Kepercayaan atau pegangan ialah satu kecenderangan untuk bertindak secara sedar atau tidak sedar.

            Berfikir secara mendalam, iaitu merenung, meneliti, dan menimbang.  Proses berfikir secara mendalam ini, akan menimbulkan dari dalam diri sendiri, mengenal pasti dan menolak kesalahan, kebatilan, dan kemustahilan dan proses-proses yang sebagai dengannya.

 

 

 

3.0       PENGALAMAN DAN ILMU PENGETAHUAN

            Pengalaman adalah satu kenangan yang boleh dimanfaatkan dan juga boleh dijadikan pedoman kepada menusia untuk menjadikannya sebagai tauladan ataupun pengajaran.  Satu pengalaman negatif boleh dijadikan pengajaran kepada manusia untuk tidak melakukannya lagi.

            Ilmu pengetahuan yang ada pada manusia biasanya dimanfaatkan dengan menggunakan akal yang ada pada setiap manusia.  Namun ada manusia yang mempunyai akal tetapi tidak menggunakan akalnya dengan rasional.  Tugasan ini memerikan pengalaman penulis selama tiga tahun dalam PALAPES.

            Manusia menurut Gibert Highet (1964:6) adalah boleh berfikir, belajar, mengingat, berkhayal dan memcipta pendapat baharu; mengembangkan dan meluaskan lagi pengetahuan yang tumboh di zaman silam.  Ini bukan sahaja merupakan merupakan perkara yang aneh tetapi juga dikemukakan dari percampuran: yang tidak ada bandingnya.  Inilah menjadikan kita sebagai manusia.

            Manusia itu sejenis haiwan juga, tetapi dilebihkan dia dengan akal.  Kepada akal itulah bersandar segala perkara yang wajib dia lakukan atau wajib dia tinggalkan (H. Abdul Malik K.A (HAMKA), 1954:30).  Akal diambil diambil daripada kata asli yang ertinya “…ikatan” nama ini sesuai betul dengan tempat pengambilan, karena ibarat tali mengikut unta, maka akal itu mengikut manusia.  Dalam pepatah Melayupun telah ada, “mengikat binatang dengan tali, mengikat manusia dengan akalnya” ( H. Abdul Malik K. A (HAMKA), 1954:36).  Menurut HAMKA lagi, akallah bahan untuk berfaham, dialah hulu hikmat.  Lantaran akal datangnya taklif perintah agama, didalam agama barulah sah perintah dipikulkan bila seorang ada berakal.  Tidaklah terpikul agama kepada orang gila dan anak-anak.  Untuk mencapai bahagia dunia dan agama, ialah dengan melalui jambatan akal.  Dengan akal meningkat tangga di majlis Tuhan dan dengan akal diatur rahsia pendirian alam (1954:52).

3.1       KAITAN FALSAFAH DALAM KEHIDUPAN

            Konsep falsafah seperti yang diterangkan sebelum ini mempunyai perkaitan rapat dalam kehidupan kita.  Tanpa mengira apa juga yang dilakukan, semua aktiviti adalah berkaitan dengan falsafah kehidupan.

            Antara pengalaman penulis adalah semasa melalui proses pembelajaran di kelas Akademi Pengajian Melayu adalah lebih kepada ilmu am yang boleh diperolehi oleh semua manusia tanpa mengira sesiapapun.  Penerimaan pembelajaran adalah melalui pembentangan kuliah oleh pensyarah dan juga perbincangan antara rakan sekelas.  Penerimaan ilmu adalah berdasarkan saluran ilmu laporan melalui perkabaran daripada autoriti yang sah.  Penulis menerima pengajaran guru tersebut dan menyerap ilmu tersebut dengan menggunakan proses berfikir.

            Penulis sebagai pelajar boleh berfikir secara memberi perhatian, berjaga-jaga dan memberi tumpuan, iaitu merupakan satu sikap akal.  Penumpuan perhatian terhadap apa yang diajar oleh guru biasanya tidak semua maklumat dapat diterima oleh penulis dan pelajar lain.  Setiap pelajar akan menerima pemahaman yang berbeza.  Keadaan ini memerlukan pengajar tersebut supaya memberikan pelajarnya cara berfikir yang sesuai untuk sesebuag subjek.  Contohnya untuk subjek seperti sastera, berfikir secara imaginasi adalah sesuai kerana imaginasi dirangsang oleh dari luar iaitu pengejar subjek itu sendiri.

            Pengalaman penulis semasa berfikir secara mengingat kembali adalah ketika belajar di kelas semasa sesi latihan di Kompleks PALAPES.  Penulis pada setiap tahun akan menjalani latihan dalam kawasan ladang untuk mengaplikasikan segala ilmu dalam medan perang yang dipelajari daripada jurulatih.

            Ada juga yang tidak dapat mengaplikasikan ilmu yang diajarkan oleh jurulatih sehinggakan pasukan yang dibawa mengalami kekalahan dan juga kecederaan.  Latihan ini sebenarnya memberikan gambaran kepada penulis bahawa dalam peperangan sebenar, sekiranya tidak bertindak dengan betul dan tepat, keputusan yang dibuat oleh ketua akan menyebabkan sesebuah pasukan jatuh teruk apabila diserang oleh pihak lawan.

            Berfikir secara mendalam pula akan dibuat semasa ketua sesebuah pasukan dikehendaki untuk membuat keputusan dan tindakan yang sesuai mengikut perkiraan keadaan.  Keputusan yang betul akan menyelamatkan kawasan yang diduduki sebagai kawasan pertahanan pasukan akan selamat daripada serangan musuh.

            Berfikir secara imaginasi selalu berlaku kepada penulis semasa menjalani latihan di bawah seliaan PALAPES.  Terutamanya semasa penulis dalam keadaan letih dan penat.  Imaginasi mengenai air dan minuman akan terbayang.  Selain itu, penulis yang telah lapar akan mula membayangkan imbasan-imbasan makanan yang sedap. Imbasan akan menjadi lebih cerah apabila makanan telah berada di hadapan mereka.  Sebagai contohnya, apabila ayam goreng menjadi lauk pada waktu makan akan menjadi imaginasi penulis bahawa ayam goreng tersebut adalah ayam Kentucky Fried Chicken (KFC).

            Berfikir secara  autistik pula adalah ketika penulis berada dalam keadaan yang terlalu haus.  Pada masa yang sama, penulis juga berada dalam keadaan yang penat kerana telah berjalan dalam jarak yang jauh dengan beban barang yang berat.  Pada masa ini, otak penulis adalah dalam keadaan yang tidak stabil dan mula berfokuskan kepada air untuk minum sahaja.  Namun air yang wujud dalam fikiran penulis cumalah fantasi, khayalan sepintas lalu daripada perasaan dahaga penulis sendiri.

            Berfikir sebagai satu kepercayaan pula adalah melihat kepada kepercayaan, pegangan, pendirian dan pandangan penulis.  Pengalaman penulis mengajarkannya bahawa setiap agama mengkehendaki penganutnya taat kepada suruhan agam amasing-masing.  Oleh itu, terpulang kepada penganutnya untuk menurut dengan taat, kerana setiap agama tidak mempunyai paksaan tidak kira agama Islam, Kristian, Buddha ataupun Hindu.  Setiap manusia dilihat oleh penulis mempunyai cara sendiri untuk menunjukkan bahawa orang tersebut adalah penganut yang baik atau tidak.

            Ilmu dapat memberikan sumbangan kepada kehidupan pada pemerhatian penulis adalah semasa penulis membuat keputusan untuk mengikuti latihan di PALAPES ataupun mengikut aktiviti penyelidikan yang dianjurkan oleh Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu.  Pemilihan dibuat dengan menggunakan proses berfikir secara mendalam.  Apabila penulis berfikir secara mendalam, akan baik buruk keputusan yang dibuatnya itu, penulis akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti program penyelidikan yang dianjurkan oleh Jabatan Linguistik.  Sebelum keputusan untuk mengikuti program penyelidikan dibuat, penulis menimbang balik akan kesan dan akibat daripada keputusannya itu.

            Penulis melihat apabila dia mengikuti program penyelidikan, penulis akan dapat pengalaman baru bersama orang asli di Tasik Banding tempat program dijalankan.  Selain itu, penulis juga dapat melihat sendiri keadaan orang asli tersebut dan bagaimana orang asli tersebut menjalani rutin hidup mereka.  Penulis juga melihat bahawa apabila dia tidak hadir ke latihan, dia akan dikenakan tindakan dan juga menghadapi tindakan tatatertib oleh pihak jurulatih dari PALAPES.  Walau bagaimanapun, penulis akhirnya membuat keputusan untuk mengikuti program penyelidikan yang dibuat oleh Jabatan Linguistik kerana tidak mahu melepaskan peluang untuk melihat sendiri akan kehidupan orang asli yang ada.

 

 

 

 

 

 

 

 

4.0       KESIMPULAN

            Secara keseluruhannya, tugasan ini adalah tugasan yang dibuat oleh penulis untuk melihat akan fungsi-fungsi falsafah dalam kehidupan.  Tugasan ini telah menghuraikan akan pengertian ilmu.  Seterusnya, ilmu yang ada dimanfaatkan oleh akal untuk digunakan sebagai benda yang berguna mengikut keadaan yang sesuai dan juga tempat yang sesuai.  Penulis telah menggunakan pengalamannya sebagai pelajar di Akademi Pengajian Melayu dan juga sebagai pelajar yang mengikuti aktiviti PALAPES di Universiti Malaya sebagai perkaitan untuk ilmu pengetahuan dapat memberikan sumbangan dalam kehidupan.

            Pada awal tugasan ini, penulis telah menghuraikan konsep falsafah, ilmu dan juga ilmu pengetahuan.  Kemudiannya, huraian seterusnya adalah mengenai saluran ilmu pengetahuan yang ada.  Penulis juga menerangkan akan proses berfikir iaitu berfikir secara autistik, berfikir secara imaginasi, berfikir secara mengingat kembali, berfikir secara satu kepercayaan, berfikir dengan memberi perhatian dan berfikir secara mendalam.  Pada akhir tugasan, penulis telah mengaitkan proses berfikir dalam pengalaman penulis sendiri semasa menjadi pelajar di Akademi Pengajian Melayu dan PALAPES, Universiti Malaya.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Fuller, J. R., 1957. A History of Philosphy. New York: Holt, Rinehart & Winston.

 

Gilbert Highet, 1964. Man’s Unconquerable Mind. Diterjemahkan oleh Sidang Pengarang H.M Shah Enterprise.  New York: Columbia University Press.

 

H. Abdul Malik K.A., 1954. Falsafah Hidup.  Jakarta: Penerbit Wijaya.

 

Hashim Musa, 2006. Pengantar Falsafah Bahasa Edisi Kedua.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

Kamus Dewan Edisi Ketiga, 2005.  Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

 

 

~ oleh azccmjt22 di April 3, 2009.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: